Sunday, 10 March 2013

Memasak dalam masa lima minit


TELUK KETAPANG – Pelaksanaan bengkel masakan panas yang bertujuan memberi tunjuk ajar tambahan khususnya kepada ahli Homestay Teluk Ketapang merupakan usaha Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang bagi memantapkan homestay itu.

Pengerusi Jiran Wanita KRT Teluk Ketapang, Zaimah Salleh berkata, bengkel yang diadakan dengan kerjasama sebuah kolej itu memberi tunjuk ajar kepada peserta untuk menyediakan sajian masakan panas sekurang-kurangnya dalam tempoh lima minit.

“Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam Homestay Teluk Ketapang ini, namun pelbagai badan atau pertubuhan yang ada di sini seperti KRT dan belia, saling bergabung serta menyokong antara satu sama lain kerana kami semua satu komuniti.

“Selaras dengan itulah, bengkel masakan panas yang dirancang akan dilaksanakan sebanyak lapan siri sepanjang tahun ini bagi memberi pendedahan serta kemahiran tambahan kepada peserta terlibat dalam penyediaan masakan berkenaan,” katanya.

Malah menurutnya, bengkel siri pertama diadakan selama dua hari bermula 27 Januari lalu mendapat sambutan baik iaitu seramai 35 orang dengan menyediakan 10 menu masakan panas untuk dihidangkan kepada 30 orang.

“Antara menunya ialah mi ladna dan mi mamak. Memandangkan majoriti ahli Jiran Wanita merupakan ahli homestay, menjadi perkara penting untuk kami sentiasa berusaha tingkatkan kemahiran bagi memantapkan lagi Homestay Teluk Ketapang,” katanya.

Zaimah berkata, kemahiran diperoleh melalui bengkel seumpama itu dapat diaplikasikan kepada pelancong yang bertandang ke homestay berkenaan dan ia secara tidak langsung memantapkan lagi Homestay Teluk Ketapang yang mula beroperasi sejak 2009 itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaimah berkata, pihaknya juga menganjurkan program Ummati-ummati yang dirancang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini pada setiap malam Jumaat dan edisi pertama telah bermula akhir Januari lalu.

0 comments:

Post a Comment