Sunday, 10 March 2013

Masak nasi bawah tanah

Masak nasi bawah tanah

KUANTAN – Menunya mungkin sama seperti nasi arab yang lain, namun cara penyediaannya menjadikan Nasi Arab Habeb Cafe lebih istimewa lengkap dengan rasa yang sempurna.
Dimasak menggunakan periuk yang diletakkan di dalam tanah, Nasi Arab Habeb Cafe menjanjikan rasa nasi yang asli dari Timur Tengah Yamen.
Pemiliknya, Syed Salim Syed Aziz berkata, dia mendapat idea untuk mengetengahkan menu itu untuk makan tengahari setelah gagal mencari nasi arab yang kena dengan seleranya.
“Saya memang suka nasi arab, tetapi bila makan nasi arab yang dijual, kebanyakannya tidak menepati selera saya. Sebab itulah saya nekad untuk menyediakan menu ini dan memberikan kelainan kepada pelanggan,” katanya yang ditemui baru-baru ini.
Syed Salim yang mengusahakan restoran itu bersama isterinya, Sharifah Badariah Syed Abd Hamid berkata, mereka membawa chef dari Yamen, Chef Maher Salleh bagi memastikan rasa nasi arab yang disediakan itu benar-benar berkualiti.
“Resipi yang digunakan memang asli dari Yamen tanpa ada sedikit pun perubahan resipi. Selain itu, cara masakan juga berbeza di mana kami menyediakannya di dalam periuk yang diletakkan di bawah tanah.
“Nasi tersebut akan dimasak sekali bersama ayam dan kambing bagi mendapatkan aroma yang asli sekali gus menambah kelazatan nasi,” katanya.
Katanya, antara menu hidangan yang disajikan di restoran itu ialah Nasi Mandy Ayam dan Kambing, Nasi Kabsah Ayam dan Kambing, serta Nasi Arab Talam dan Teh Arab.
“Setiap hari, pelanggan boleh menikmati keenakan nasi arab yang dijual bermula jam 11.30 pagi hingga 9.30 malam. Kami turut menyediakan hidangan untuk famili dengan harga yang berpatutan.
“Selain itu, kami turut menerima tempahan untuk majlis keramaian. Mereka yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi talian 019-9892514 atau datang terus ke kedai kami yang terletak berhampiran Masjid Al-Muttaqin, Tanah Putih Baru,” katanya.
Tambahnya, dia turut merancang untuk menyediakan lebih banyak menu Timur Tengah sekali gus menjadikan restoran itu terkenal pada masa akan datang.
“Jika diizinkan, saya mahu mengubah dekorasi restoran ini sama seperti di Arab supaya pelanggan yang datang boleh menikmati suasana seperti di negara itu,” katanya.
(sumber :  http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/masak-nasi-bawah-tanah-1.94211)

0 comments:

Post a Comment