Sunday, 10 March 2013

Chef Mamu popularkan masakan Malaysia di Rusia









MOSCOW - Namanya mungkin tidak sepopular Datuk Chef Wan, tetapi peranannya dalam mempopularkan masakan Melayu di bumi Rasputin ini memang boleh dibanggakan.

Abdul Rashidin Rashid, 32, atau lebih dikenali sebagai Chef Mamu bangga kerana masakannya diterima oleh warga Rusia.

Malah rakyat Malaysia yang tinggal Moscow atau yang berkunjung ke sini pasti tidak melepaskan peluang menikmati resipi istimewa Chef Mamu.

Menjadi tukang masak di Roni Restaurant sejak lima tahun lalu, anak kelahiran Sentul, Kuala Lumpur ini pernah menimba pengalaman di Maldives selama dua tahun.

"Saya ke sini mengikut ajakan seorang rakan di samping mahu menimba pengalaman. Walaupun cabaran di sini agak hebat, alhamdulillah saya mampu mengatasi dengan baik," katanya kepada Sinar Harian.

Chef Mamu ditemui ketika kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ke Moscow sempena Persidangan Menteri Perdagangan Apec di Kazan selama dua hari bermula esok.

Walaupun mendapat pendidikan formal dalam bidang masakan di Itar, Chef Mamu mengakui resipi yang digunakan adalah berdasarkan pengalamannya sendiri.

"Setakat ini masakan saya diterima baik oleh masyarakat tempatan. Resipi saya saya adunkan antara masakan Melayu dan citarasa tempatan," katanya.

Roni Restaurant dimiliki Arkady Navikov yang memiliki 50 rangkaian restauran menyediakan makanan halal.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mustapa kerana sudi datang bertanya khabar dan merasa sendiri masakan saya," katanya.
(sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/chef-mamu-popularkan-masakan-malaysia-di-rusia-1.53178?localLinksEnabled=false)

0 comments:

Post a Comment