Saturday 9 March 2013

Chef Shah sajikan masakan untuk selebriti



Sajian yang disediakan oleh Chef De Cuisine, Shahriar Azarakhshi pernah dinikmati oleh lebih daripada 50 selebriti terkenal.



    PADA usianya yang mencecah 33 tahun, Chef De Cuisine, Shahriar Azarakhshi mungkin antara individu paling bertuah kerana menghimpun pelbagai pengalaman yang jarang dilalui orang lain.
Semua gara-gara memilih tugas sebagai chef sebagai kerjayanya yang telah membuka pintu seluas-luasnya untuk beliau bertemu dengan pelbagai jenis manusia.
   Antara yang paling mengujakannya apabila dapat bertemu dan bergambar dengan artis-artis terkenal Hollywood ketika beliau berkhidmat di Pulau Dhoni, Maldives sebelum berhijrah ke Malaysia, September lalu.
   Meskipun pernah bergambar dengan lebih 50 selebriti dan sedikit sebanyak menerima tempias hidup glamor mereka, Chef Shah yang kini berkhidmat dengan Restoran Eccucino yang terletak di Prince Hotel & Residence, Kuala Lumpur, masih meneruskan kerjaya dalam bidang masakan.
   Maldives merupakan sebuah pulau kecil yang amat indah dan terkenal dengan masakan berasaskan makanan laut.
  Berada di sana selama empat tahun membolehkan saya bertemu dengan Elizabeth Hurley, pasangan David Beckham dan Victoria Beckham, pereka terkenal dari Itali, Dolce & Gabbana dan ramai lagi, katanya sambil tersenyum.
  Menurutnya, Maldives sering dijadikan sebagai tempat idaman ramai pengunjung yang ingin menikmati ketenangan.
  Pulau Maldives sering dikunjungi oleh para selebriti ternama dunia memandangkan ia menyediakan pelbagai kemudahan berbintang lima.
  Biarpun harga hotel di sana bermula daripada RM6,000 hingga RM15,000 untuk satu malam, pengunjung tetap berpuas hati dengan percutian tersebut.
  Ketika bertugas di sana, saya bertanggungjawab untuk menyediakan masakan berdasarkan permintaan pengunjung daripada masakan Asia hingga ke masakan Eropah, jelasnya.
  Berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang masakan membuatkan Chef Shah diiktiraf sebagai salah seorang pakar masakan novel.
  Bagaimanapun, Chef Shah berkata, resipinya banyak dipengaruhi oleh gaya masakan dari Perancis, Arab dan Asia kerana beliau menimba pengalaman memasak dari ketiga-tiga tempat tersebut.
  Masakan novel berbeza dengan masakan gabungan kerana ia merupakan sejenis hidangan yang tidak mempunyai sejarah penghasilan dan dihasilkan dengan kaedah yang tidak pernah digunakan sebelum ini.
  Masakan gabungan pula lebih kepada menggabungkan dua jenis hidangan menjadi satu tetapi janganlah sehingga ia merosakkan masakan tradisi itu sendiri.
  Masakan yang enak lebih baik dihasilkan berdasarkan resipi asal untuk mengekalkan cita rasa yang tersendiri,ujarnya.
   Ketika ditanya mengenai hidangan tempatan kegemarannya, Chef Shah gemar menikmati sajian Melayu seperti nasi lemak, sate dan sup ekor.
Saya suka makanan berasaskan kelapa dan masakan Melayu merupakan yang paling saya gemari.
Bagi saya, nasi lemak merupakan menu paling terbaik dimakan untuk sarapan dan saya boleh menikmatinya setiap hari tanpa rasa jemu,katanya.
 Chef Shah juga berkata, Chef Alain Ducasse merupakan idolanya kerana beliau merupakan seorang chef yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam Michelin Guide.
  Chef Alain dikenali sebagai chef berbintang tujuh kerana ketiga-tiga restoran miliknya diiktiraf tiga bintang Michelin,jelasnya.
  Tambah Chef Shah, beliau gembira melihat perubahan kerjayanya jika dibandingkan dengan 15 tahun dahulu.
  Masa saya mula-mula bekerja di dapur, kerja chef ini tidak diiktiraf sebagai bidang profesional kerana kebanyakan pengunjung melihat kami sebagai tukang masak biasa.
  Namun dalam jangka masa 15 tahun ini, ia berubah dan kami mula dihormati ramai.
  Keadaan ini mungkin berlaku kerana bantuan chef selebriti yang banyak membantu untuk meningkatkan nama para chef yang bekerja dalam industri masakan dan perhotelan,ujarnya.

0 comments:

Post a Comment