Si cilik belajar masak dengan chef profesional
Fenomena terkini, program masakan kanak-kanak menjadi tumpuan dan kelas memasak untuk kanak-kanak juga dianjurkan di sana-sini oleh pengendali bertauliah dan Hotel Renaissance Kuala Lumpur baru-baru ini turut menganjurkan bengkel masakan untuk kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun.
Chef Eksekutif di hotel berkenaan, Andre Conte bertanggungjawab mengendalikan bengkel berkenaan dengan peserta adalah seramai 20, menyediakan masakan di dapur profesional dengan tunjuk ajar chef hebat berkenaan.
Chef Conter berkata, kanak-kanak yang menyertai bengkel berkenaan sangat bersemangat melakukan tugas diajukan dan semuanya menunjukkan sifat ingin mencuba yang sangat baik.
“Kami mahu memberikan anak-anak wawasan ini apa yang mereka ingin alami seperti memasak di dapur profesional dan pada masa yang sama, menyalakan semangat masakan di dalamnya.
“Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan. Mereka bekerja bersama-sama untuk menyediakan dua resipi Itali, iaitu pasta dengan sos pesto dan chiacchiere gaya Itali serta fritters goreng rangup manis,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.
Bengkel masakan menu Itali berkenaan berlangsung di Studio R Hotel Renaissance
Meskipun masih asing dengan situasi mengadun doh serta pelbagai bahan masakan lain yang perlu dimasukkan ke dalam adunan, semua peserta bengkel seronok melakukannya bersama dengan rakan sebaya dan pastinya pengalaman berkenaan boleh digunakan membantu ibu bapa di rumah kelak.
Chef Conte juga menjelaskan memasak bersama ibu bapa di rumah boleh mengukuhkan ikatan kekeluargaan antara ibu dan anak serta adik beradik lain.
“Kami sengaja memilih resipi yang mudah dan senang difahami kanak-kanak untuk menyediakannya. Mereka boleh menyediakan resipi ini di rumah juga kerana ia sangat senang disediakan sekiranya mereka ingin memasak dengan adik atau kakak di rumah.
“Paling utama, mereka memasak dengan memakai apron dan topi chef yang lengkap selain merasai suasana di dapur masakan yang serba lengkap di hotel ini. Mereka mendapat pengalaman berharga apabila belajar memasak di sini,” katanya.
Di akhir sesi bengkel yang berlangsung selama dua jam itu, ia dipenuhi gelak ketawa dan keceriaan peserta yang mengikutinya manakala ibu bapa pula beruntung kerana berpeluang mencuba resipi disediakan anak masing-masing.
Jika ada ibu bapa berminat menghantar anak mereka menyertai bengkel masakan ini, ada banyak lagi sesi masakan akan dianjurkan pihak pengurusan hotel pada tahun hadapan dan terbuka untuk pelbagai kumpulan umur.
0 comments:
Post a Comment