Sunday 10 March 2013

Festival makanan Malaysia di New Delhi

Nazaruddin Yusof


NEW DELHI - Festival makanan Malaysia yang disokong Tourism Malaysia dan Malaysia Airlines 'membuka pintunya' kepada komuniti di bandar raya ini pada Khamis, malam.
Festival 10 hari "Rasa Ria Malaysia" itu berlangsung di Le Meridien.
Berucap pada pelancaran, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Tan Seng Sung berkata Malaysia kaya dengan pelbagai hidangan etnik yang mendiami negara itu.
"Kami juga memiliki hidangan asimilasi yang tidak terdapat di negara asal (sesetengah kumpulan etnik)," katanya.
Beliau merujuk kepada hidangan keturunan Cina Baba Nyonya yang mengandungi ciri-ciri masakan Melayu, India serta Cina dan hanya ada di kepulauan Melayu.

 "Ini berlaku hasil perkahwinan campur antara tiga kaum utama di kawasan penempatan selat Melaka dan Pulau Pinang yang menyumbang ke arah menjadikan dua bandar raya itu sebagai tapak warisan dunia Unesco," katanya.
Selain itu katanya, terdapat pelbagai jenis hidangan dari Sabah dan Sarawak.
"Jangan lupa, orang Portugis, Belanda dan Inggeris juga pernah tiba di negara kami.
Mereka juga menyumbang kepada warisan makanan Malaysia," kata Tan, menambah negeri di utara Semenanjung Malaysia pula dipengaruhi masakan keturunan Thai yang menetap di Malaysia.
"Ini yang membuatkan masakan Malaysia unik dan berkait langsung dengan slogan pelancongan negara 'Malaysia, Truly Asia'," katanya. - Bernama
 

0 comments:

Post a Comment