20 peserta Pencarian Chef Selebriti 2 BH dan Gas PETRONAS, ikuti bengkel masakan
"Percaya
dengan bakat tapi ia perlu dipupuk dengan latihan berterusan," itu
antara kata azimat ditekankan Pengarah Teknikal merangkap Instruktor
Chef Masakan, Institut Seni Kulinari Le Cordon Bleu Sunway, Chef Franck
Bruwier, pada bengkel masakan disertai 20 peserta peringkat separuh
akhir Pencarian Chef Selebriti 2 BH dan Gas PETRONAS, Selasa lalu.
“Mempelajari sesuatu, anda perlu tahu teknik. Apa juga kemahiran atau bidang, teknik paling penting,” jelasnya.
Dalam bengkel masakan berlangsung selama tiga jam di Institut Seni Kulinari Le Cordon Bleu Sunway itu, semua peserta diberikan pendedahan mengenai panduan dan cara memasak yang betul.
Bengkel bertujuan mendedahkan peserta bagi kategori Profesional dan Individu dengan persekitaran memasak.
Ajar teknik memasak
Menariknya, apa yang dapat dipelajari daripada chef kelahiran Perancis berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang masakan menjangkau tiga benua dan bandar besar seperti London, Shanghai, Seoul, Mexico serta Paris itu adalah teknik dalam menghasilkan masakan Perancis.
Lengkap dan diperincikan dengan jelas oleh Chef Franck bagaimana kaedah menghasilkan tekstur ‘mousse’ yang halus menggunakan isi udang dan sotong untuk resipi sotong sumbat ‘mousse’ udang.
Beliau turut menunjukkan kehebatan memasak tenderloin Wellington (stik daging lembu) yang sempurna dimulakan dengan kaedah menghasilkan crepes atau lempeng nipis membaluti daging lembu.
Ternyata, aksi tangkas Chef Franck cukup dikagumi peserta apabila tangan lincah memasak dan memotong tapi mulut tidak lokek berkongsi ada saja ilmu dimiliki.
Hadir sama pada bengkel itu ialah Penolong Pengarang Unit Wanita BH, Jami’ah Shukri; Ketua Juri selaku penasihat pertandingan, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan Eksekutif Pemasaran Le Cordon Bleu Sunway, Sherlyn Lee.
Tambah ilmu
Sementara itu, Chef Wan turut menggalakkan peserta supaya tidak jemu mencari ilmu jika mengimpikan untuk bergelar chef hebat di masa depan.
“Pada saya, tidak akan berjaya seseorang itu jika ada bakat tanpa disertai semangat, tenaga dan paling utama ilmu pengetahuan.
“Justeru, penting bagi anda yang minat memasak menyertai kelas masakan, belajar asas memasak daripada mereka yang handal,” katanya sambil mendedahkan rahsianya yang kerap menyertai kelas masakan sehingga negara luar seperti Itali, Maghribi juga Sepanyol untuk mencapai tahap sekarang.
Pencarian Chef Selebriti 2 BH dan Gas PETRONAS, anjuran BH FAMILI memasuki musim kedua menawarkan wang tunai RM10,000 dan trofi kepada pemenang pertama, dua-dua kategori dipertandingkan iaitu Individu dan Profesional.
Pemenang kategori Profesional juga berpeluang menjadi penulis jemputan ruangan masakan setiap Khamis di sisipan FAMILI, BH selama enam bulan manakala tempat kedua bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima RM2,000 dan trofi, tempat ketiga RM1,000 dan trofi manakala tempat keempat hingga sepuluh menerima RM100 dan trofi.
Pertandingan peringkat separuh akhir akan berlangsung, pada 1 Disember nanti di pusat beli belah AEON Bukit Tinggi, Klang manakala peringkat akhir adalah pada 15 Disember nanti di Plaza E@Curve, Damansara.
0 comments:
Post a Comment